Saturday, October 22, 2011

Girls' Generation musuhi Wonder Girls?



2 kumpulan wanita berpengaruh Korea saling bersaing menjuarai hati peminat di Amerika Syarikat

BIBIT persaingan antara Wonder Girls dan kumpulan yang sedang mencuba nasib untuk mencipta pengaruh di Amerika Syarikat (AS), Girls' Generation semakin ketara menjelang siri promosi album terbaru mereka yang dijadualkan bermula bulan depan. Sebelum ini, Wonder Girls dan Girls’ Generation atau juga dikenali dengan akronim, SNSD di luar Korea sering beralah daripada bersaing secara depan.
Persaingan antara dua kumpulan itu meraih perhatian media yang teruja mencongak grup mana bakal menyerlah turut dibumbui pelbagai kenyataan provokasi yang meresahkan peminat. Perselisihan tercetus apabila penerbit AS, Teddy Riley yang mengagumi bakat SNSD mengeluarkan kenyataan berbaur kecaman menyebabkan penggemar Wonder Girls tersinggung.
Riley yang terbabit dalam promosi album terbaru SNSD, The Boys di AS menerusi iTunes menulis pada laman Twitter ,dia yakin potensi kumpulan itu untuk menyerlah lebih cerah berbanding Wonder Girls.

“Usah terlalu bimbang kerana SNSD akan lebih diterima berbanding Wonder Girls,” komen Riley yang menyebabkan peminat segelintir peminat kumpulan yang popular dengan lagu Nobody itu berang.

Riley membangkitkan lagi kemarahan peminat apabila memanjangkan satu komen yang menyatakan Wonder Girls gagal di AS dan tiada siapa mempedulikan kehadiran mereka. Tindakan Riley itu diselar peminat yang memohonnya supaya lebih matang dan profesional dalam memberikan kenyataan supaya tidak menjatuhkan orang lain.

Desakan peminat memaksa Riley mengalah dan memohon maaf kepada Wonder Girls dan Park Jin-Young kerana mencetuskan kontroversi tanpa sengaja.
“Saya silap dan memohon maaf tetapi ini adalah satu persaingan. Mari mulakan permainan ini,” kata Riley yang seterusnya menyekat peminat daripada mengikuti akaun peribadinya.

Riley menambah, manusia sering menjatuhkan sesama sendiri apabila membabitkan perkara negatif tetapi melupakan orang itu apabila mereka memohon maaf dan mengakui kesilapan.

“Mereka akan mencari alasan untuk menghukum dan mengkritik tetapi tidak memaafkan. Itu salah dan saya tidak mahu mempedulikannya lagi. Saya memohon maaf kepada Wonder Girls tetapi jangan ganggu saya lagi atau saya akan membuang anda daripada terus menulis ke akaun peribadi saya,” katanya memberi amaran kepada peminat.

Riley juga menjelaskan, edaran album The Boys yang sepatutnya dipasarkan 5 Oktober lalu ditangguh kerana mereka mahu memastikan perjalanan produksi itu lancar dan SNSD bersedia memulakan cabaran besar di AS.

“Ada rencana besar sedang menanti dan kami akan pastikan SNSD meraih kejayaan nanti,” katanya sambil berharap pengurusan SM Entertainment tidak terlalu gusar kerana mereka berusaha keras memastikan nama SNSD tetap gah di sana.

“Lagu mereka sedang mendapat perhatian dan ia antara sebab mengapa kami menganjakkan tarikh edaran album itu. Kita mendapat tenaga produksi terbaik untuk album ini, begitu juga penyanyi undangan. Usah terlalu negatif kerana mereka akan berjaya. Serahkan saja kepada Tuhan,” katanya.

Gee lagu paling lama di Music Bank

WONDER Girls mencipta sejarah sebagai kumpulan Korea pertama menembusi pasaran AS pada 2009 menerusi single, Nobody versi Inggeris yang memasuki carta Billboard Hot 100 pada tangga ke-76. Populariti luar biasa diterima Wonder Girls membawa kumpulan itu memperluaskan empayar di AS. Sejak satu setengah tahun lalu, aktiviti seni mereka lebih tertumpu di bumi Uncle Sam itu.

Kali terakhir Wonder Girls mengeluarkan single adalah pada Mei tahun lalu dengan Two Different Tears. Justeru, kepulangan mereka begitu dinanti selepas lama tidak beraksi di negara sendiri. Wonder Girls kembali ke Korea pada 9 Oktober lalu untuk memulakan proses rakaman album terbaru. Terdahulu, mereka menyempurnakan penggambaran filem, Wonder Girls At The Apollo sebagai bintang utama.

Kekosongan yang lama ditinggalkan Wonder Girls itu diisi SNSD yang dibarisi Taeyeon, Jessica, Sunny, Tiffany, Hyoyeon, Yuri, Sooyoung, Yoona dan Seohyun untuk membina pengaruh mereka di negara sendiri. SNSD mula diperkenalkan pada 2007 namun mendaki puncak populariti pada 2009 selepas single, Gee mencipta sejarah tersendiri.

Gee memegang rekod lagu paling lama diputarkan di Music Bank, saluran KBS selain menduduki tangga pertama selama sembilan bulan berurut-turut. Populariti luar biasa lagu itu mendorong laman muzik popular Korea, Melon menamakan Gee sebagai lagu terbaik alaf ini.

Biarpun siri promosi hanya akan bermula pada November ini, SNSD berupaya menarik sedikit nafas lega kerana trailer album, The Boys yang dipromosikan menerusi laman You Tube rasmi SM Entertainment ditonton jutaan peminat dalam masa beberapa hari. Petanda awal itu membuktikan kekuatan pengaruh kumpulan sembilan gadis itu, apatah lagi SNSD menawarkan konsep segar dalam album terbaru mereka.

Ia memberi cabaran kepada Wonder Girls kerana populariti kumpulan itu sedikit merosot apabila terlalu menumpukan aktiviti di luar negara.

Selain album, The Boys yang diedarkan serentak di Korea dan seluruh dunia secara talian pada 19 Oktober lalu, muzik video lagu itu turut dilancarkan menerusi saluran YouTube dan Facebook pada hari yang sama. Album itu akan dilancarkan di AS pada November ini menerusi Interscope Records yang menaungi nama popular seperti The Black Eyed Peas, Eminem, Far East Movement, Lady Gaga dan Gwen Stefani.


-BHarian

2 comments:

Pen MErah said...

akak lg ske snsd.. best!

Unknown said...

@Pen MErah sme la..snsd bnyk lagu baru skrg ni drpd si wonder girls tu hrp nobody je laa...