Tuesday, December 6, 2011

BHarian- James Bond selar Kardashian

BINTANG TELEVISYEN... Kim, Khloe dan Kourtney mendapat berjuta dollar hasil rancangan realiti ‘Keeping Up With The Kardashians’ dan yang terbaru, ‘Kourtney And Kim Take New York.’ 
 
 
MEREKA memperolehi pendapatan berjuta dollar hanya dengan menyiarkan cara hidup mereka dalam rancangan realiti di televisyen untuk tontonan umum.

Tapi ada seorang yang langsung tidak tertarik dengan keluarga Kardashian.
Danial Craig telah melancarkan kata-kata kesat mengenai keluarga itu, yang diketuai oleh Kim Kardashian dalam satu temuramah dengannya yang disiarkan dalam majalah GQ.

Bintang James Bond melabelkan keluarga itu ‘bodoh’ dan mengkritik sesiapa yang ‘menjual’ diri dan kemudian mahukan privasi dalam hidup mereka.

Craig yang berjaya menyembunyikan perkahwinannya dengan Rachel Weisz pada musim panas, memberitahu majalah GQ edisi Januari, “Saya rasa banyak yang boleh diperkatakan mengenai perkara peribadi anda.

“Ia bukan mengenai rasa takut untuk mendedahkan emosi anda di mata umum atau me-ngenai siapa diri anda dan apa yang anda percaya. Tapi bila anda mula menjual, jadi tiada apa lagi yang tinggal.

“Anda tidak boleh beli balik, anda tidak boleh beli balik privasi itu. Oh, saya mahu bersendirian. Bodohlah. Kita semua sudah masuk dalam ruang tamu dia. Kita semua ada di saat dia bersalin. Dia yang filemkan untuk tontonan kita dan tunjuk uri dia dan sekarang dia mahukan privasi?”

Bercerita mengenai Kardashian, Craig berkata, “Lihatlah keluarga Kardashian.
Mereka bernilai berjuta-juta dollar. Saya tak rasa mereka seteruk itu pada asalnya, tapi lihatlah mereka sekarang.

“Anda tonton dan mula terfikir, ‘Jadi, maksud awak, apa yang perlu saya buat adalah berlagak macam orang bodoh di hadapan televisyen dan mereka akan bayar saya berjuta dollar.’

“Saya bukan mahu menghakimi - ah, saya menghakimi sebenarnya.”




Craig juga bercerita mengenai perkahwinannya dengan Rachel. Walaupun dia berjaya menyembunyikan perkahwinan mereka daripada diketahui umum, dia tidak merasa seperti telah menang.

Katanya, “Kami berjaya menyembunyikannya. Kami adakan majlis tertutup dan saya berterima kasih kepada ramai orang. Tapi itulah maksudnya, kami buat demikian atas alasan peribadi.

“Kerana kami tidak mahu ia gagal, sebab ia seperti berkongsi rahsia. Itulah
sebenarnya, berkongsi rahsia. Dalam minda saya, rahsia adalah rahsia.”

Craig juga keberatan bercerita mengenai upacara perkahwinannya. Dia berkata, “Saya dilamun cinta. Saya sangat bahagia dan setakat ini sajalah yang saya berani kata.

Perjalanan hidup masih panjang dan sekiranya ada yang tak kena, saya tak mahu apa yang saya kata dilemparkan semula ke muka saya nanti.”

Aktor berusia 43 tahun ini sekarang sedang menjalani penggambaran filem James Bond yang ke 23, ‘Skyfall’. Filem terbarunya, ‘The Girl With The Dragon Tattoo’ yang diolah semula ke dalam Bahasa Inggeris akan ditayangkan tidak lama lagi.

Tetapi katanya, walaupun dia mempunyai karier yang berjaya, dia masih lagi tidak gembira mengenai beberapa perkara.

Katanya, “Sudah pasti saya tidak puas hati dengan karier saya. Saya tak tahu bagaimana untuk puas hati, mungkin itu adalah normal.

“Saya sering cuba mencari jawapan dan kadang-kadang saya tidak puas hati. Saya sentiasa mahu buat
 dengan betul cuma saya tak tahu apa jawapannya.

“Tapi apa yang pasti, saya tahu jawapannya ada di luar sana dan sangat berbaloi untuk mencarinya.”





 

No comments: